Wednesday, April 28, 2010

Pilihan Mak, Pilihan Aku.




"Aku ada masalah sikit la...", tiba-tiba Man mengeluh. Suara dia agak perlahan tapi jelas pada pendengaran aku. Aku yang dari tadi asyik melayan gitar tong kepunyaan abang aku mematikan bunyi gitar dengan menekup tali yang bergetar. Dengan perlahan aku meletakkan gitar tu di atas meja. 

"Pasai apa..?" aku membalas sambil mengalih pandangan aku pada Man. Ingatkan Man dah tidur, rupa-rupanya dia sedang memikirkan sesuatu dengan mata memandang syiling sambil sebelah tangan di atas dahi.

Susah sungguh nak tengok sahabat aku sorang ni susah hati. Dia ni jenis 'happy go lucky' kata orang putih. Happy dia menjadi-jadi selepas dapat 'tackle' Adilah budak freshie dari Perak tu.

Baru tengahari tadi aku jumpa dia 'merendek' sakan dengan Adilah kat kafetaria Mak Long.

"Tadi aku tengok hang happy saja sampai aku pun hang tak nampak," Aku mula mengorek cerita dari sahabat baik aku ni.

"Hang baca la surat dari mak aku dari kampung tu," sambil menjuihkan bibirnya ke arah meja tulis. Zaman aku belajar dulu mana ada handphone. Yang ada public phone, tu pun kita kena call kalau nak cakap dengan ahli keluarga kat kampung. Kalau ahli keluarga nak bagitau apa-apa sama ada tulis surat atau telegram. Aku rasa budak-budak la ni kalau bagitau pasal telegram tobat depa gelak.

  Man, mak berkenan sungguh kat anak Sarjan Ishak , ketua balai polis Kangar yang mak bagi tau tempohari. Nama dia Nor Suhana. Dia la ni dok belajar kat Maktab Perguruan Pasir Panjang, Terengganu. Sesuai sangatlah dengan Man. Sama-sama cikgu. Mak dah hantar orang pi merisik, Alhamdulillah keluarga Sarjan Ishak dan isteri dia menyambutnya dengan baik. Besarlah harapan mak kalau Man menjadikan Nor Suhana tu isteri Man.

Bacaan aku terhenti bila Man mula mengomel, " Ditelan mati mak, diluah mati bapak." 

"Hang serius ka dengan Adilah tu?" Ewah macam kauselor la pulak. "Aku tengok budak tu ok jugak. Kalau hang dah betul-betul nak kan Adilah tu hang cakap la terus terang kat mak hang". Aku cuba bagi pendapat.

"Aku sayang kan mak aku. Tak pernah aku membantah cakap dia. Aku masuk maktab ni pun pasai dia yang suruh. Kalau ikutkan hati tak mau aku jadi cikgu ni. Aku lebih suka buat kerja aku yang dulu."

"Hang cuba lah buat solat istiharah. Tengok macam mana. Dalam dua tiga hari Insya Allah , Tuhan akan bagi petunjuk." Aku cuba meyakinkan Man. Berat jugak masalah dia ni.

Selepas menamatkan pengajian  aku posting ke Kedah dan Man pula ke Johor. Perhubungan kami terputus sehinggalah satu hari aku mendapat kad jemputan kawin dari sahabat aku ni. Suspen jugak bila aku membuka sampul kad dia tu. Nak tengok siapakah gerangan gadis pilihan dia.

"Alhamdulillah," hati aku berdetik. "Anak mak jugak kau ni Man," sambil tersenyum dan merenung nama pengantin perempuan.

...........anak lelaki kami:

Abdul Rahman Bin Abdul Aziz
dengan
Nor Suhana Bt Ishak

Selang setahun selepas itu, aku menerima sepucuk surat. Sampulnya berwarna putih. Cop pada setemnya tertera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dibelakang sampul tertera nama Man kawan baik aku tu dengan nombor telefon rumah sekali. Didalamnya berisi sekeping kad jemputan kahwin tetapi lebih nipis sedikit dari kebiasaan. Bau wangi terhambur keluar bila aku membuka kad ini. Aku terus membaca isi kad tersebut.

........anak perempuan kami:

Siti Adilah Bt Yaakob
dengan
Abdul Rahman Bin Abdul Aziz

Terbeliak biji mata aku bila membaca kad jemputan kahwin sahabat aku ini. Kad ini ternyata panggilan sebelah perempuan.

Malam itu aku terus menelefon nombor telefon yang tertera pada belakang sampul kad jemputan kahwin Man yang aku terima siang tadi. Memang betul, itu nombor telefon rumah dia. Setelah bertanya khabar aku pun mula menyuarakan kemusykilan aku tentang perkahwinan kedua Man.

"Hang ingat dak hang suruh aku solat istiharah masa aku bagi tau hang masalah aku dulu," Man mula memberi penjelasan. " Aku buat solat tu 3 malam berturut-turut". 

Dan selepas itu aku pun tersenyum sorang-sorang bila Man bagi tau apakah mimpi alamat yang dia dapat setelah 3 malam dia membuat solat istiharah.

"Aku bermimpi aku masuk ke dalam sebuah bilik yang mempunyai DUA katil kelamin !!".