Saturday, May 22, 2010

Cahaya Kebahagiaan Ku


"Bapak..," satu-satunya anak perempuan aku bersuara. Lembut dan beralun. 

Walaupun panggilan bapak agak kasar bagi sesetengah orang, tetapi kesemua anak-anak aku mengalunkan suara yang lembut apabila memanggil aku dengan panggilan itu.

"Siti rasa nak makan durian la...," sambil memandang tepat ke mata aku melalui cermin pandang belakang kereta yang aku bawa. Tangan nya diletakkan di atas bahu aku sebelah kiri sambil memicit-micit lembut.

Petang Jumaat itu seperti biasa aku menjemput kedua-dua anak aku dari asrama. Amin , anakku yang sulung dah melelapkan mata. Begitulah peelnya bila dia naik kereta apabila balik dari asrama.

"Nanti bapak gi beli dengan ibu. Hari ni pasar malam kat Taman Kempas. kalau ada rezeki, malam ni kita makan durian ," Jawab aku bersungguh. Tersenyum lebar anak perempuan aku tu.

Siti Nur Sa'adah. Itulah nama anak perempuan aku . Satu-satunya anak perempuan aku. Istimewanya anak aku yang sorang ni kerana aku menyambutnya dengan tangan aku sendiri hampir-hampir 14 tahun yang lalu.

Aku masih ingat malam sebelum kelahirannya yang sungguh istimewa itu. Sepatutnya 'due' isteri aku adalah sepuluh hari lewat dari kelahiran sebenarnya. Sebab itulah aku tak kisah sangat nak buat preparation nak sambut anak yang ke dua ini.

Malam itu kami tidur awal memandangkan esoknya adalah hari berkerja. Anak aku yang sulung masih tak mahu tidur seolah-olah hendak memberitahu aku bahawa adiknya akan 'keluar' subuh besok.


Jam 5.00 pagi, aku terjaga. Selalunya pukul 5.30 baru aku bangun. Aku terdengar suara isteri aku mendengus.


"Abang, ayu rasa macam nak bersalin la," Isteri aku bersuara sambil memegang perutnya yang memboyot itu.


Kelam kelibut dibuatnya. Aku bingkas bangun. Buka lampu. Basuh muka. Dan mula berfikir apa yang harus aku buat.


Dan dah memang rezeki aku subuh itu. Aku menyambut kelahiran puteri aku itu dengan tangan aku sendiri kerana dah tak sempat lagi ke hospital.


"Terima kasih bapak," tiba-tiba puteri aku ni menyapa aku dari belakang. Asyik sungguh aku dengan 'facebook' sampai tak sedar dia ada di belakang. Dan aku tahu ucapan terimakasih itu adalah kerana tercapai jua hasrat dia nak makan durian waktu balik ke rumah minggu ini.