Wednesday, April 21, 2010

AWEK ANGKAT...

"Mak teringin nak tengok girlfriend hang..." Tiba-tiba terpacul keluar ayat maut itu dari mulut Mak aku. Sejak tadi Mak dok diam saja. Mungkin mak sedang memikirkan sesuatu. Memang aku tau memang boring habis kalau dok kat hospital . Nasib baik hospital swasta. Tak la ramai orang sangat.

"Eeemmm...", aku mula mencari idea. Apa aku nak jawab? Aku tengah syok dok bedal nasik hospital Mak aku , tiba-tiba saja dia tanya soalan tu.

"Mana cek ada marka !" Jawab aku spontan. Sambil meletakkan tray nasik hospital, aku bangun untuk membasuh tangan. Ni mesti abang aku dah pecah lobang. Pandai-pandai dia buat cerita pulak. Maunya Mak suruh aku bawak mai ke hospital, 'jem' aku.

Yang sebenarnya (ewah macam lagu Yuna la pulak), aku memang tak da 'steady girlfriend' lagi. Yang dok ada tu kawan biasa saja. Tak lah sampai bercintan-cintun. 

"Bawak mai la, mak nak tengok !" Suara Mak agak meninggi. Kali ni aku tak berupaya menepis lagi. Takkan la aku nak kecewakan hasrat  mak tu. Apatah lagi dia sedang sakit...

"Insya Allah", jawab aku perlahan sambil memegang kaki mak.

Malam tu aku tak boleh lena. Esok aku mesti bawak 'awek' aku untuk mak tengok. Kepala otak dok ligat, sapa la aku nak bawak esok. Salehah, mak tau dia tu jiran aku. Takkan mak percaya aku dok bercinta dengan dia. Zu anak polis tu. Muka ala-ala anak mami sikit. Dia kat Melaka. Maktab Perguruan Durian Daun. Bakal jadi cikgu Bahasa Inggeris. Sarina! Dia bukan awek aku. Aku baru ja nak mengorat dia dah tunjuk cincin tunang kat jari manis dia.Nak mampos.!! Rosnita ? Tak boleh. Budak kecik lagi. Baru tingkatan dua. Macamana ni??

Alih-alih sampai subuh aku tak boleh lena. Pejam celik , pejam celik. Kepala dok ligat carik idea. Macam pencipta lagu dok termenung cari ilham. Alahai mak, kalau mak nak aku bawa gajah pun lagi senang dari suruh aku bawak awek. Sebabnya...aku memang tak da GIRLFRIEND !!!

Suara Pak Long Ghoni akhirnya memecah kebuntuan aku pada pagi yang hening itu. Suaranya yang serak serak kering tu begitu asyik sekali mengumandangkan azan. Aku pun bingkas bangun. Apa-apa pun pi solat dulu , lepas tu carik idea balik. Lagi pun hari tu hari Ahad. Aku tak kerja.

"Assalamualaikum. Mak ! Ini Ana. Kawan cek," aku menyapa mak yang masih memejamkan mata masa aku sampai dengan Ana tadi. Mungkin mak tidur kerana ubat tahan sakit yang diberikan doktor. Kalau mak tak jaga juga, habis la aku. Bukan main susah aku nak pujuk Ana tadi. Lepas tu suruh dia jadi 'awek angkat' aku pulak. Tak pernah di buat orang.

Lepas setengah jam, aku tengok mata mak mula bergerak-gerak. Aku tersenyum. Mak pun senyum. Mulut mak bergerak gerak. Aku pegang tangan mak. Sejuk. Jari-jari mak runcing macam jari aku. Anak mak la katakan.

"Hang mai dengan sapa?" suara mak agak bergetar. " Cek mai dengan Ana", dengan konfidennya aku menjawab. 

"Mak, ni Ana", lagi sekali aku memperkenalkan Ana pada mak. Aku suruh Ana bersalam dengan mak. Mak pun menyambutnya dengan senyuman. 

"Awat hitam ja pun !" tiba-tiba mak mengeluarkan ayat yang tak bertapis tu. Nasib baik perlahan. Aku rasa Ana tak perasan sebab dia asyik dok senyum saja. Aku dah pesan kat Ana, walau apapun yang terjadi dia mesti senyum saja. Biag nampak manis gitu.

"Nanti bila mak dah sihat nanti, mak cari yang putih-putih gebu kat hang !" bisik mak sambil mengerut dahi. Aku tahu mak sedang menahan sakit. Mungkin ubat tahan sakit dah mula nak habis.

Baru kini aku sedar. Macamana isteri aku yang putih melepak macam puteri Chulalongkorn tu nak sesangat kat aku. Ini semua tak lain dan tak bukan kerana doa mak aku.

Terima kasih mak, kerana doa mak telah dimakbulkan Allah. 


No comments:

Post a Comment