Sunday, April 18, 2010

HABIS MADU SEPAH DIBUANG

 

"Apa khabar tuan ?" Tersenyum lebar kawan aku seorang ni sambil berjabat tangan dengan aku. 

"Alhamdulillah." Jawab aku ringkas.

Kudin, itulah nama sahabat aku ni. Dah lebih 15 tahun tak berjumpa. Dari segi penampilannya , masih macam dulu. Rambut sikat tepi, berkumis nipis dan berjanggut sejemput . Ala ala ustaz gitu.

"Lama sungguh tak jumpa. Berapa dah, anak hang?" Tanya Kudin bersungguh-sungguh. Walaupun dia bukan orang utara, tapi Kudin tahu aku orang Pulau Pinang. Jadi, dia bantai cakap aku lah macam tu.

Kudin lebih 5 tahun tua dari aku. Jadi dah 45 tahun usianya. Kulit masih 'cekang', kata orang utara, cuma, gigi agak renggang dan sedikit berkarat.

"Aku dengag hang dah menikah sorang lagi ! Betoi ka?" Saja aku mengacah. Entah ya , entah tidak.

"Mana hang tau ?" Terbeliak biji mata Kudin. Alamak, macam marah kat aku saja. Rasanya serkap jarang aku mengena.

Maka berdialog panjanglah aku dengan Kudin. Dari sembang-sembang tepi kereta kami mencari sebuah kedai makan untuk meneruskan cerita sensasi Kudin. Nasib baik kat seberang jalan nun ada sebuah gerai menjual laksa dan ABC.

Cerita Kudin bermula dengan kisah kejayaannya membuka sebuah kedai menjual pakaian terpakai. Sambil sambil tu sempat juga jual produk kesihatan berasaskan susu. Kira-kira MLM lah tu. Nak dijadikan rezeki dalam tempoh tak sampai setahun Kudin memperolehi pendapatan 4 angka. Aku tanya betul-betul kat Kudin berapa purata pendapatan sebulan. RM7500 katanya. Lumayan jugak tu.

Selepas itu, Kudin mula buat cerita lawak. Dia mula cerita tentang Zura, isteri dia yang dinikahinya kira-kira 20 tahun dulu.

Aku kenal sangat dengan Zura, sebab dia satu sekolah dengan aku. Orangnya kecil molek, senyum melirik dan memang comel. Cuma kulitnya agak gelap sikit. 

Masa mereka berkahwin dulu, Kudin dan Zura berkerja kilang di Perai. Almaklumlah satu tempat kerja. Hari-hari dok tengok hang aku. Maka cinta pun berputik. Aku pun sakan jugak dok bercinta masa kerja kilang dulu..........

Lepas berkahwin maka tibalah saat menimang cahaya mata. Setahun sorang, setahun sorang...tup tup sembilan. Zura berhenti kerja. Kudin pun dah melompat ke kilang lain dengan gaji dan pangkat yang lebih baik.

Susah jugak la kehidupan mereka. Zura pun dok tolong bantu dengan membuat kuih untuk jualan. Kudin pun dok berjinak-jinak jual baju 'bundle' kat pasar malam.  Alhamdulillah, cukuplah rezeki mereka sebelas beranak. Fuhh...satu team bola tu.!!

Akhirnya Kudin mendapat tapak sebuah gerai dekat dengan simpang jalan berhampiran pekan. Dan disitulah cerita bermula...

Bila pelanggan dah ramai, maka Kudin pun kenalah ambik pembantu kedai. Dan nak dijadikan cerita adalah seorang anak dara yang sweeeaat sangat datang untuk minta kerja di kedai Kudin. 

Maka dipendekkan cerita...hampa tau-taulah sendiri...budak pompuan ni dah la cun melecun, putih melepak pulak tu. Ala-ala Zizie Ezzete gitu...hmmmm lemah longlailah abang Kudin aku sorang ni.

"Habis, macamana dengan Zura?" Tanya aku sambil menghabiskan saki baki kuah laksa yang dah masuk dua pinggan aku bedal.

"Hang tau sajalah...", jawab Kudin selamba.

Lepas tu Kudin mulalah bercerita hal-hal yang tak baik tentang Zura. Tak pandai layanlah, cemburu lah , tak boleh nilah, tulah....sampai habis diceritakan hal-hal zahir dan batin.

"Ops... stop dulu Kudin !" Aku mula memotong ceritera Kudin. 

Kat sinilah aku amat tak setuju dengan lelaki yang mula buat hal bila berhajat nak menikah satu lagi. Dan skripnya sama saja. Puncanya isteri tua.

Aku yang dok pedas lidah sebab tergigit cabai melaka terus menepuk bahu Kudin. Dia agak terkejut tapi masih kool dan steady.

"Din, kalau hang dah sampai jodoh buat kali ke dua, Alhamdulillah tahniah ! Cuma satu permintaan aku !" Mata Kudin terbuka sikit. Kedua-dua lengannya diletakkan diatas meja.

"Hang jangan sekali-sekali memburukkan Zura, isteri yang hang duduk dengan dia sekali sejak 20 tahun dulu. Hang pi ambik borang kat pejabat kadhi, isi dan buat permohonan. Biag pejabat agama yang keluarkan kebenaran untuk hang berpoligami. Dan hang jangan dok pi merata tempat dok cerita pasai keburukan isteri hang sekarang yang menjadi punca hang nak berkahwin lain." Suara aku agak keras. 

"Satu lagi permintaan aku. Semua harta sepencarian hang dengan Zura hang pi ubah nama siap-siap secara 'hibbah'. Rumah, kedai, duit KWSP, duit simpanan, pendek kata apa saja harta yang terkumpul sepanjang tempoh 20 tahun hang hidup dengan Zura dan anak-anak." Kali ni aku cuba mengawal sikit nada suara aku.

" 'Hibbah' tu apa dia ??!!", tanya Kudin sambil menggaru hidung. 

" Cissss !!" Terhambur perkataan Hang Jebat tu dari mulut aku.





No comments:

Post a Comment