Sunday, June 13, 2010

Jangan Menghampiri Zina




"Mulai hari ini tak da lagi duit untuk top-up kredit handphone," Pak Hamid mula bersuara setelah sekian lama memendam rasa. Sambil menyuapkan apam balik panas yang baru dibeli dari pasar malam Pak Hamid cuba menyusun ayat yang paling baik untuk anak lelaki dia sorang ni.

"Duit yang ibu dan bapak cari untuk anak-anak, guna untuk makan dan membeli bahan untuk belajar." Sambung Pak Hamid lagi. Dia cuba meleraikan kekusutan fikiran yang sekian lama bersarang dibenaknya.

Pak Hamid sedar, dalam banyak perkara dia perlu bertegas. Jika tidak anak-anaknya akan mengikuti jejak remaja-remaja yang lain. Hanyut dalam arus yang tak ada tepinya. Dan yang paling menakutkannya jika anak-anak yang ditatang bagai minyak yang penuh itu membuat onar dan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat Allah.

"Bapak nak bagitau satu perkara. Apa yang along buat tu adalah perkara yang disebut di dalam Al Quran. Perkara yang sangat-sangat dilarang oleh Allah. Iaitulah jangan menghampiri zina."

"Mula-mula sms. Lepas itu mula nak ajak dating. Kemudian mula berpegang-pegang tangan..dan akhirnya jadilah perkara sumbang yang sangat-sangat dilaknati Allah itu," sambung Pak Hamid bersungguh-sungguh.

Sambil menghabiskan sisa-sisa apam balik yang masih berbaki di dalam pinggan Pak Hamid bangun dan merenung ke arah anak sulung kesayangannya itu.

"Sekurang-kurangnya esok, di Padang Masyar bila Allah tanya bapak adakah kamu pernah menegur perbuatan anak kamu dan menasihatinya dengan ajaranKu? "


"Ya Allah, aku telah cuba sedaya upaya untuk mematuhi petunjuk yang telah Engkau berikan di dalam Al-Quran. Dan aku sedaya upaya mendidik anak-anakku sebagaimana selayaknya mengikut perintah Mu."

"Engkau berkatilah Ya Allah, peliharalah diri aku, isteri-isteriku dan anak-anak ku serta seluruh umat Islam sekalian dari perbuatan keji dan sia-sia."




Saturday, May 22, 2010

Cahaya Kebahagiaan Ku


"Bapak..," satu-satunya anak perempuan aku bersuara. Lembut dan beralun. 

Walaupun panggilan bapak agak kasar bagi sesetengah orang, tetapi kesemua anak-anak aku mengalunkan suara yang lembut apabila memanggil aku dengan panggilan itu.

"Siti rasa nak makan durian la...," sambil memandang tepat ke mata aku melalui cermin pandang belakang kereta yang aku bawa. Tangan nya diletakkan di atas bahu aku sebelah kiri sambil memicit-micit lembut.

Petang Jumaat itu seperti biasa aku menjemput kedua-dua anak aku dari asrama. Amin , anakku yang sulung dah melelapkan mata. Begitulah peelnya bila dia naik kereta apabila balik dari asrama.

"Nanti bapak gi beli dengan ibu. Hari ni pasar malam kat Taman Kempas. kalau ada rezeki, malam ni kita makan durian ," Jawab aku bersungguh. Tersenyum lebar anak perempuan aku tu.

Siti Nur Sa'adah. Itulah nama anak perempuan aku . Satu-satunya anak perempuan aku. Istimewanya anak aku yang sorang ni kerana aku menyambutnya dengan tangan aku sendiri hampir-hampir 14 tahun yang lalu.

Aku masih ingat malam sebelum kelahirannya yang sungguh istimewa itu. Sepatutnya 'due' isteri aku adalah sepuluh hari lewat dari kelahiran sebenarnya. Sebab itulah aku tak kisah sangat nak buat preparation nak sambut anak yang ke dua ini.

Malam itu kami tidur awal memandangkan esoknya adalah hari berkerja. Anak aku yang sulung masih tak mahu tidur seolah-olah hendak memberitahu aku bahawa adiknya akan 'keluar' subuh besok.


Jam 5.00 pagi, aku terjaga. Selalunya pukul 5.30 baru aku bangun. Aku terdengar suara isteri aku mendengus.


"Abang, ayu rasa macam nak bersalin la," Isteri aku bersuara sambil memegang perutnya yang memboyot itu.


Kelam kelibut dibuatnya. Aku bingkas bangun. Buka lampu. Basuh muka. Dan mula berfikir apa yang harus aku buat.


Dan dah memang rezeki aku subuh itu. Aku menyambut kelahiran puteri aku itu dengan tangan aku sendiri kerana dah tak sempat lagi ke hospital.


"Terima kasih bapak," tiba-tiba puteri aku ni menyapa aku dari belakang. Asyik sungguh aku dengan 'facebook' sampai tak sedar dia ada di belakang. Dan aku tahu ucapan terimakasih itu adalah kerana tercapai jua hasrat dia nak makan durian waktu balik ke rumah minggu ini.








Tuesday, May 11, 2010

Dipersimpangan itu...


"Hang tau ka dia tu sapa?...Anak sapa?" tiba -tiba kawan baik aku ni melenting.

"Mana aku tau!" Aku cuba buat lawak bagi menenangkan keadaan. Aku pun heran, tetiba aja bila aku sebut yang aku berkenan kat budak yang pakai baju biru tu kawan aku ni melenting.

"Dia tu bini orang hang tau dak !" Alamak, bedebuk dada aku macam kena hempap dek pokok kelapa.

"Hang tengok cara dia berjalan!", kawan aku mula nak buat cerita.

"Awatnya ?" Aku mula mencari kepastian. Kalau betoi dia dah jadi bini orang, memang aku tak mau 'approach'. Dalam hati aku masih yakin dia masih belum kawin. Tapi kalau dia dah kawin, melepaslah aku. Aku dah memang 'letak' hati kat budak pompuan berbaju biru ni.

Betul. Kita tak boleh melawan bisikan hati kecik kita. Ada orang kata bisikan hati kecik tu adalah bisikan syaitan. Ya Allah , jauhkanlah aku dari bisikan syaitan.


Tapi aku pasti sangat bahawa kali ni bisikan hati kecik aku ni bukan bisikan syaitan. Macamana aku nak tau. 

Allah Maha Kasih Sayang. Dan limpahan kasih sayang itulah yang dirasai oleh hamba-hambaNya yang dikehendaki. Kasih sayang mutlak adalah hak Allah. Apa yang kita dapat? Kita kan hamba. Kalau tuan dia bagi ambik sajalah. Kalau tidak pun buat dek ja la.

Malam tu seperti biasa aku ke studio kerana ada latihan. Persembahan untuk Pesta Pulau Pinang makin dekat. Lupa sejenak aku pada budak pompuan berbaju biru tu.

Dua tiga hari lepas tu, dia muncul kembali. Alamak, kali ni bertambah dekat. Aku dapat menatap dengan jelas wajahnya. Aku senyum, dia pun membalas senyuman aku. Bedebub..."Makkkkk...cek dah jatuh cintaaa..!!

"Din, hang nak kata apa pun, katalah. Aku nak bagi tau kat hang, aku nak pi jumpa budak ni. Aku nak bagi tau aku nak berkawan dengan dia." 

Aku tengok Din dok menulis sesuatu kat atas kertas. Dia tengah siapakan barang untuk dihantar ke production line. Din tengok aku macam siput babi ternampak salad.

"Lantak hang lahh...", Din bersuara kuat sambil berjalan ke arah pintu keluar.

Pasai apa Din macam tak suka aku nak mengorat budak baju biru tu. Din dah kawin. Dah dua anak. Takkan dia cemburu kot. Mesti ada sesuatu yang Din cuba selindung dari aku. Ya Allah janganlah kau putuskan silaturahim antara aku dan Din kerana budak pompuan berbaju biru tu.

Malam tu seperti biasa selepas 'jamming' aku dan rakan-rakan band aku ke gerai mamak kat Perai. Memang kami selalu ke situ. Tu lah satu-satunya kedai mamak yang dibuka sampai larut malam untuk orang-orang macam aku nih. Ahlil muzik la katakan.

Dan kat sini jugak lah aku lihat dengan mata kepala aku sendiri satu aksi pasangan kekasih yang asyik leka bergurau senda di satu sudut yang agak gelap kat bawah pokok tak jauh dari tempat aku dan kawan-kawan aku minum pada malam itu.

"Terima kasih Din. Hang memang kawan baik aku. Patut lah hang menyinga bila aku sebut pasai budak pompuan baju biru tu", hati kecik aku mula berbisik. Kali ni benar-benar berbisik.

Dan bisikan hati kecik aku juga tetiba di sahut oleh lagu kumpulan Headwind yang sayup sayup mengalunkan lagu ' Berakhirnya satu Percintaan'.....



Wednesday, April 28, 2010

Pilihan Mak, Pilihan Aku.




"Aku ada masalah sikit la...", tiba-tiba Man mengeluh. Suara dia agak perlahan tapi jelas pada pendengaran aku. Aku yang dari tadi asyik melayan gitar tong kepunyaan abang aku mematikan bunyi gitar dengan menekup tali yang bergetar. Dengan perlahan aku meletakkan gitar tu di atas meja. 

"Pasai apa..?" aku membalas sambil mengalih pandangan aku pada Man. Ingatkan Man dah tidur, rupa-rupanya dia sedang memikirkan sesuatu dengan mata memandang syiling sambil sebelah tangan di atas dahi.

Susah sungguh nak tengok sahabat aku sorang ni susah hati. Dia ni jenis 'happy go lucky' kata orang putih. Happy dia menjadi-jadi selepas dapat 'tackle' Adilah budak freshie dari Perak tu.

Baru tengahari tadi aku jumpa dia 'merendek' sakan dengan Adilah kat kafetaria Mak Long.

"Tadi aku tengok hang happy saja sampai aku pun hang tak nampak," Aku mula mengorek cerita dari sahabat baik aku ni.

"Hang baca la surat dari mak aku dari kampung tu," sambil menjuihkan bibirnya ke arah meja tulis. Zaman aku belajar dulu mana ada handphone. Yang ada public phone, tu pun kita kena call kalau nak cakap dengan ahli keluarga kat kampung. Kalau ahli keluarga nak bagitau apa-apa sama ada tulis surat atau telegram. Aku rasa budak-budak la ni kalau bagitau pasal telegram tobat depa gelak.

  Man, mak berkenan sungguh kat anak Sarjan Ishak , ketua balai polis Kangar yang mak bagi tau tempohari. Nama dia Nor Suhana. Dia la ni dok belajar kat Maktab Perguruan Pasir Panjang, Terengganu. Sesuai sangatlah dengan Man. Sama-sama cikgu. Mak dah hantar orang pi merisik, Alhamdulillah keluarga Sarjan Ishak dan isteri dia menyambutnya dengan baik. Besarlah harapan mak kalau Man menjadikan Nor Suhana tu isteri Man.

Bacaan aku terhenti bila Man mula mengomel, " Ditelan mati mak, diluah mati bapak." 

"Hang serius ka dengan Adilah tu?" Ewah macam kauselor la pulak. "Aku tengok budak tu ok jugak. Kalau hang dah betul-betul nak kan Adilah tu hang cakap la terus terang kat mak hang". Aku cuba bagi pendapat.

"Aku sayang kan mak aku. Tak pernah aku membantah cakap dia. Aku masuk maktab ni pun pasai dia yang suruh. Kalau ikutkan hati tak mau aku jadi cikgu ni. Aku lebih suka buat kerja aku yang dulu."

"Hang cuba lah buat solat istiharah. Tengok macam mana. Dalam dua tiga hari Insya Allah , Tuhan akan bagi petunjuk." Aku cuba meyakinkan Man. Berat jugak masalah dia ni.

Selepas menamatkan pengajian  aku posting ke Kedah dan Man pula ke Johor. Perhubungan kami terputus sehinggalah satu hari aku mendapat kad jemputan kawin dari sahabat aku ni. Suspen jugak bila aku membuka sampul kad dia tu. Nak tengok siapakah gerangan gadis pilihan dia.

"Alhamdulillah," hati aku berdetik. "Anak mak jugak kau ni Man," sambil tersenyum dan merenung nama pengantin perempuan.

...........anak lelaki kami:

Abdul Rahman Bin Abdul Aziz
dengan
Nor Suhana Bt Ishak

Selang setahun selepas itu, aku menerima sepucuk surat. Sampulnya berwarna putih. Cop pada setemnya tertera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dibelakang sampul tertera nama Man kawan baik aku tu dengan nombor telefon rumah sekali. Didalamnya berisi sekeping kad jemputan kahwin tetapi lebih nipis sedikit dari kebiasaan. Bau wangi terhambur keluar bila aku membuka kad ini. Aku terus membaca isi kad tersebut.

........anak perempuan kami:

Siti Adilah Bt Yaakob
dengan
Abdul Rahman Bin Abdul Aziz

Terbeliak biji mata aku bila membaca kad jemputan kahwin sahabat aku ini. Kad ini ternyata panggilan sebelah perempuan.

Malam itu aku terus menelefon nombor telefon yang tertera pada belakang sampul kad jemputan kahwin Man yang aku terima siang tadi. Memang betul, itu nombor telefon rumah dia. Setelah bertanya khabar aku pun mula menyuarakan kemusykilan aku tentang perkahwinan kedua Man.

"Hang ingat dak hang suruh aku solat istiharah masa aku bagi tau hang masalah aku dulu," Man mula memberi penjelasan. " Aku buat solat tu 3 malam berturut-turut". 

Dan selepas itu aku pun tersenyum sorang-sorang bila Man bagi tau apakah mimpi alamat yang dia dapat setelah 3 malam dia membuat solat istiharah.

"Aku bermimpi aku masuk ke dalam sebuah bilik yang mempunyai DUA katil kelamin !!".

Wednesday, April 21, 2010

AWEK ANGKAT...

"Mak teringin nak tengok girlfriend hang..." Tiba-tiba terpacul keluar ayat maut itu dari mulut Mak aku. Sejak tadi Mak dok diam saja. Mungkin mak sedang memikirkan sesuatu. Memang aku tau memang boring habis kalau dok kat hospital . Nasib baik hospital swasta. Tak la ramai orang sangat.

"Eeemmm...", aku mula mencari idea. Apa aku nak jawab? Aku tengah syok dok bedal nasik hospital Mak aku , tiba-tiba saja dia tanya soalan tu.

"Mana cek ada marka !" Jawab aku spontan. Sambil meletakkan tray nasik hospital, aku bangun untuk membasuh tangan. Ni mesti abang aku dah pecah lobang. Pandai-pandai dia buat cerita pulak. Maunya Mak suruh aku bawak mai ke hospital, 'jem' aku.

Yang sebenarnya (ewah macam lagu Yuna la pulak), aku memang tak da 'steady girlfriend' lagi. Yang dok ada tu kawan biasa saja. Tak lah sampai bercintan-cintun. 

"Bawak mai la, mak nak tengok !" Suara Mak agak meninggi. Kali ni aku tak berupaya menepis lagi. Takkan la aku nak kecewakan hasrat  mak tu. Apatah lagi dia sedang sakit...

"Insya Allah", jawab aku perlahan sambil memegang kaki mak.

Malam tu aku tak boleh lena. Esok aku mesti bawak 'awek' aku untuk mak tengok. Kepala otak dok ligat, sapa la aku nak bawak esok. Salehah, mak tau dia tu jiran aku. Takkan mak percaya aku dok bercinta dengan dia. Zu anak polis tu. Muka ala-ala anak mami sikit. Dia kat Melaka. Maktab Perguruan Durian Daun. Bakal jadi cikgu Bahasa Inggeris. Sarina! Dia bukan awek aku. Aku baru ja nak mengorat dia dah tunjuk cincin tunang kat jari manis dia.Nak mampos.!! Rosnita ? Tak boleh. Budak kecik lagi. Baru tingkatan dua. Macamana ni??

Alih-alih sampai subuh aku tak boleh lena. Pejam celik , pejam celik. Kepala dok ligat carik idea. Macam pencipta lagu dok termenung cari ilham. Alahai mak, kalau mak nak aku bawa gajah pun lagi senang dari suruh aku bawak awek. Sebabnya...aku memang tak da GIRLFRIEND !!!

Suara Pak Long Ghoni akhirnya memecah kebuntuan aku pada pagi yang hening itu. Suaranya yang serak serak kering tu begitu asyik sekali mengumandangkan azan. Aku pun bingkas bangun. Apa-apa pun pi solat dulu , lepas tu carik idea balik. Lagi pun hari tu hari Ahad. Aku tak kerja.

"Assalamualaikum. Mak ! Ini Ana. Kawan cek," aku menyapa mak yang masih memejamkan mata masa aku sampai dengan Ana tadi. Mungkin mak tidur kerana ubat tahan sakit yang diberikan doktor. Kalau mak tak jaga juga, habis la aku. Bukan main susah aku nak pujuk Ana tadi. Lepas tu suruh dia jadi 'awek angkat' aku pulak. Tak pernah di buat orang.

Lepas setengah jam, aku tengok mata mak mula bergerak-gerak. Aku tersenyum. Mak pun senyum. Mulut mak bergerak gerak. Aku pegang tangan mak. Sejuk. Jari-jari mak runcing macam jari aku. Anak mak la katakan.

"Hang mai dengan sapa?" suara mak agak bergetar. " Cek mai dengan Ana", dengan konfidennya aku menjawab. 

"Mak, ni Ana", lagi sekali aku memperkenalkan Ana pada mak. Aku suruh Ana bersalam dengan mak. Mak pun menyambutnya dengan senyuman. 

"Awat hitam ja pun !" tiba-tiba mak mengeluarkan ayat yang tak bertapis tu. Nasib baik perlahan. Aku rasa Ana tak perasan sebab dia asyik dok senyum saja. Aku dah pesan kat Ana, walau apapun yang terjadi dia mesti senyum saja. Biag nampak manis gitu.

"Nanti bila mak dah sihat nanti, mak cari yang putih-putih gebu kat hang !" bisik mak sambil mengerut dahi. Aku tahu mak sedang menahan sakit. Mungkin ubat tahan sakit dah mula nak habis.

Baru kini aku sedar. Macamana isteri aku yang putih melepak macam puteri Chulalongkorn tu nak sesangat kat aku. Ini semua tak lain dan tak bukan kerana doa mak aku.

Terima kasih mak, kerana doa mak telah dimakbulkan Allah. 


Sunday, April 18, 2010

HABIS MADU SEPAH DIBUANG

 

"Apa khabar tuan ?" Tersenyum lebar kawan aku seorang ni sambil berjabat tangan dengan aku. 

"Alhamdulillah." Jawab aku ringkas.

Kudin, itulah nama sahabat aku ni. Dah lebih 15 tahun tak berjumpa. Dari segi penampilannya , masih macam dulu. Rambut sikat tepi, berkumis nipis dan berjanggut sejemput . Ala ala ustaz gitu.

"Lama sungguh tak jumpa. Berapa dah, anak hang?" Tanya Kudin bersungguh-sungguh. Walaupun dia bukan orang utara, tapi Kudin tahu aku orang Pulau Pinang. Jadi, dia bantai cakap aku lah macam tu.

Kudin lebih 5 tahun tua dari aku. Jadi dah 45 tahun usianya. Kulit masih 'cekang', kata orang utara, cuma, gigi agak renggang dan sedikit berkarat.

"Aku dengag hang dah menikah sorang lagi ! Betoi ka?" Saja aku mengacah. Entah ya , entah tidak.

"Mana hang tau ?" Terbeliak biji mata Kudin. Alamak, macam marah kat aku saja. Rasanya serkap jarang aku mengena.

Maka berdialog panjanglah aku dengan Kudin. Dari sembang-sembang tepi kereta kami mencari sebuah kedai makan untuk meneruskan cerita sensasi Kudin. Nasib baik kat seberang jalan nun ada sebuah gerai menjual laksa dan ABC.

Cerita Kudin bermula dengan kisah kejayaannya membuka sebuah kedai menjual pakaian terpakai. Sambil sambil tu sempat juga jual produk kesihatan berasaskan susu. Kira-kira MLM lah tu. Nak dijadikan rezeki dalam tempoh tak sampai setahun Kudin memperolehi pendapatan 4 angka. Aku tanya betul-betul kat Kudin berapa purata pendapatan sebulan. RM7500 katanya. Lumayan jugak tu.

Selepas itu, Kudin mula buat cerita lawak. Dia mula cerita tentang Zura, isteri dia yang dinikahinya kira-kira 20 tahun dulu.

Aku kenal sangat dengan Zura, sebab dia satu sekolah dengan aku. Orangnya kecil molek, senyum melirik dan memang comel. Cuma kulitnya agak gelap sikit. 

Masa mereka berkahwin dulu, Kudin dan Zura berkerja kilang di Perai. Almaklumlah satu tempat kerja. Hari-hari dok tengok hang aku. Maka cinta pun berputik. Aku pun sakan jugak dok bercinta masa kerja kilang dulu..........

Lepas berkahwin maka tibalah saat menimang cahaya mata. Setahun sorang, setahun sorang...tup tup sembilan. Zura berhenti kerja. Kudin pun dah melompat ke kilang lain dengan gaji dan pangkat yang lebih baik.

Susah jugak la kehidupan mereka. Zura pun dok tolong bantu dengan membuat kuih untuk jualan. Kudin pun dok berjinak-jinak jual baju 'bundle' kat pasar malam.  Alhamdulillah, cukuplah rezeki mereka sebelas beranak. Fuhh...satu team bola tu.!!

Akhirnya Kudin mendapat tapak sebuah gerai dekat dengan simpang jalan berhampiran pekan. Dan disitulah cerita bermula...

Bila pelanggan dah ramai, maka Kudin pun kenalah ambik pembantu kedai. Dan nak dijadikan cerita adalah seorang anak dara yang sweeeaat sangat datang untuk minta kerja di kedai Kudin. 

Maka dipendekkan cerita...hampa tau-taulah sendiri...budak pompuan ni dah la cun melecun, putih melepak pulak tu. Ala-ala Zizie Ezzete gitu...hmmmm lemah longlailah abang Kudin aku sorang ni.

"Habis, macamana dengan Zura?" Tanya aku sambil menghabiskan saki baki kuah laksa yang dah masuk dua pinggan aku bedal.

"Hang tau sajalah...", jawab Kudin selamba.

Lepas tu Kudin mulalah bercerita hal-hal yang tak baik tentang Zura. Tak pandai layanlah, cemburu lah , tak boleh nilah, tulah....sampai habis diceritakan hal-hal zahir dan batin.

"Ops... stop dulu Kudin !" Aku mula memotong ceritera Kudin. 

Kat sinilah aku amat tak setuju dengan lelaki yang mula buat hal bila berhajat nak menikah satu lagi. Dan skripnya sama saja. Puncanya isteri tua.

Aku yang dok pedas lidah sebab tergigit cabai melaka terus menepuk bahu Kudin. Dia agak terkejut tapi masih kool dan steady.

"Din, kalau hang dah sampai jodoh buat kali ke dua, Alhamdulillah tahniah ! Cuma satu permintaan aku !" Mata Kudin terbuka sikit. Kedua-dua lengannya diletakkan diatas meja.

"Hang jangan sekali-sekali memburukkan Zura, isteri yang hang duduk dengan dia sekali sejak 20 tahun dulu. Hang pi ambik borang kat pejabat kadhi, isi dan buat permohonan. Biag pejabat agama yang keluarkan kebenaran untuk hang berpoligami. Dan hang jangan dok pi merata tempat dok cerita pasai keburukan isteri hang sekarang yang menjadi punca hang nak berkahwin lain." Suara aku agak keras. 

"Satu lagi permintaan aku. Semua harta sepencarian hang dengan Zura hang pi ubah nama siap-siap secara 'hibbah'. Rumah, kedai, duit KWSP, duit simpanan, pendek kata apa saja harta yang terkumpul sepanjang tempoh 20 tahun hang hidup dengan Zura dan anak-anak." Kali ni aku cuba mengawal sikit nada suara aku.

" 'Hibbah' tu apa dia ??!!", tanya Kudin sambil menggaru hidung. 

" Cissss !!" Terhambur perkataan Hang Jebat tu dari mulut aku.





Saturday, April 17, 2010

Bila Aku Sudah Tiada..


Bunyinya macam lagu sebuah kumpulan indie. Sedap juga.  Bila diamati betul betul liriknya berkisar tentang pesanan seorang kekasih yang meminta agar lagunya disimpan sebagai kenangan bila dia meninggal kelak. Romantis sungguh bait-bait lirk lagu ini. Melodinya pun sedap. Tulisannya cukup jujur.  Tetapi hakikatnya....

Aku bertanya pada diri aku sendiri, sejauh mana boleh aku berpesan kepada isteri aku andainya bila aku sudah tiada nanti ? Aku tak ada lagu romantis yang aku ciptakan khusus buat isteri. Lagu sekolah adalah. Setakat ni dah lebih lima buah sekolah menyanyikan lagu aku pada pagi hari perhimpunan sekolah... 

"Wahai isteri, bila aku sudah tiada nanti, jagalah dirimu dan diri anak anak kita dengan sebaik-baiknya", bisik aku pada isteri pada suatu pagi. Isteri aku memang dah biasa dan faham dengan cara aku menyampaikan maksud hati. Dia membalas dengan senyuman yang sungguh manis tetapi dengan dahi yang sedikit berkerut. Aku pun membalas senyuman itu. Sudah 16 tahun usia perkahwinan kami. Masak benar dia akan perilaku dan tatacaraku.

"Kalau saya mati dulu ? ". Alamak, soalan yang dijawab dengan soalan yang lebih maut. Inilah salah satu cara orang perempuan nak memerangkap lelaki dengan menimbulkan situasi yang  sama. Aku cuba bersikap jujur walaupun aku tahu bukan semua perempuan suka kepada sebuah jawapan yang jujur. 

Kematian adalah titik noktah kepada sebuah kehidupan. Full stop kata orang kampung aku. Hakikatnya ramai yang tak tahu apa yang disebalik kematian. Kononnya roh akan kembali melawat rumah dalam masa 100 hari, roh yang tak tenteram dan banyak lagi cerita-cerita sensasi berkaitan alam roh disebarkan secara meluas TANPA bukti yang cukup jelas.  Maksud sebuah hadis sahih ; 'Jika mati seseorang anak adam itu maka terputuslah segala amalannya kecuali 3. Anak yang soleh, ilmu (yang diajar) yang memberi bermanfaat dan harta benda yang disedekahkan kepada jalan Allah. 

"Wahai isteri, apabila aku sudah tiada, antara kita sudah tidak ada apa-apa ikatan lagi. Yang tinggal hanya kenangan manis dan anak-anak hasil perkongsian hidup kita. Ingat sayang, diri kita bukan hak milik sesama makhluk, tetapi anugerah Allah kepada kita. Kehidupan harus diteruskan. Andainya ada keperluan untuk kau bersuami lagi, teruskan... itu adalah terbaik dari mengelak fitnah. 16 tahun berlalu dengan pelbagai panduan dan nasihat yang aku  curahkan...dan aku amat yakin isteriku boleh mengharungi kehidupan ini dengan sebaik-baiknya. Didiklah anak-anak kita menjadi anak yang soleh, agar dapat mereka mendoakan aku dan engkau kelak." 

Bila Usia Semakin Lanjut

  


Mengapa sekarang baru aku mula berfikir ? Sudah terlambat ? Atau satu permulaan..! Benarkah kalimah 'Life begin at 40' ? Mengapa Junjungan Besar Muhammad SAW dingkat menjadi rasul ketika berumur 40 tahun ? Mengapa diusia ini seseorang boleh menjadi lebih tenang dalam pemikirannya (???).

Mulai hari ini aku ingin menulis hal-hal yang berkaitan pandangan seorang lelaki atau suami terhadap isterinya, anak perempuannya, saudara saudara perempuannya dan juga perempuan -perempuan yang lain. Cuba menulis sejujur yang mungkin. Agar menjadi renungan bersama. Semuanya akan dicoretkan berdasarkan kisah sebenar yang dialami, atau hasil dari pemerhatian ataupun ilham yang dicetuskan oleh cerita persekitaran. Dan semuanya yang Baik itu dari Allah..yang tidak baik juga dari Allah untuk menguji aku dan kepada bakal khalayak yang akan membacanya..

Mohon kekuatan dari Allah untuk aku berlaku adil terhadap tulisan aku ini dan dikira ianya sebagai amalan yang baik untuk sesama manusia. Secara ikhlas aku mohon pandangan dan dan pendapat pembaca atas apa jua topik yang akan aku lakar nanti...

Bila Usia Sudah Lanjut...akan aku jadikan segala pengalaman pahit manis kehidupan agar menjadi panduan kepada diri aku sendiri, isteri yang aku kasihi, anak-anak, saudara-saudara, rakan kenalan dan seluruh khalayak budiman...